PEMBUNUH senyap, tekanan darah tinggi atau hipertensi kini menjejaskan kehidupan dan kesihatan fizikal lebih satu bilion pesakit di seluruh dunia.
Di Malaysia, dianggarkan lebih 4.8 juta rakyat menghidap hipertensi yang disifatkan sebagai penyakit gaya hidup paling kronik dan 'giat' menyerang negara-negara membangun.
Secara tempatan, hipertensi merupakan faktor risiko utama bagi penyakit kardiovaskular (jantung) termasuk merokok, aktiviti fizikal tidak bersesuaian dan keadaan klinikal seperti diabetes, kolesterol tinggi dan obesiti.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, risiko komplikasinya masih boleh dielakkan.
Ia hanya memerlukan disiplin dalam kawalan diet terutama pengambilan garam selain rejim senaman bagi mengekalkan berat badan ideal.
Namun mengamalkan disiplin gaya hidup sihat memerlukan perubahan sikap dan kesungguhan dalam melaksanakannya.
"Untuk mencapai objektif ini, perlu ada usaha kolaborasi antara profesional, penggubal polisi, industri itu sendiri dan tentunya pihak media.
"Kerjasama antara kerajaan dan industri sama pentingnya. Seperti contoh, industri farmaseutikal boleh membantu menyediakan ubatan pada kos lebih rendah," katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Saintifik Tahunan Ke-7 Persatuan Hipertensi Malaysia (MSH) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Prof. Datin Dr. Chia Yook Chin, Presiden MSH, Dr. Azani Mohd. Daud dan Pengerusi Saintifik, Datuk Dr. Azhari Rosman.
Rawatan
Rawatan bagi tekanan darah tinggi sehingga kini terbukti mampu mengelak timbulnya penyakit kardiovaskular dan membantu memperbaiki kualiti kehidupan pesakit.
Malangnya pemantauan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati bahawa hipertensi kekal sebagai penyakit yang paling lemah pengendaliannya di mana-mana lokasi seluruh dunia.
"Memang ada peningkatan dari segi kadar rawatan kepada pesakit yang disahkan menghidap hipertensi tetapi kadar kawalan masih terlalu rendah," ujar beliau.
Dari segi pengurusan hipertensi, katanya, terapi paling efektif mampu mengawal tekanan darah tinggi hanya jika pesakit berkenaan bersungguh mengambil ubat yang disaran dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Katanya, motivasi meningkat apabila pesakit melalui pengalaman positif disokong oleh hubungan komunikasi baik bersama doktor.
"Perkongsian klinisian (doktor)-pesakit yang berasaskan kepercayaan, hormat dan pengetahuan holistik berhubung pesakit amat penting sekali.
"Pesakit lazimnya mementingkan kemudahan akses, tidak perlu menunggu terlalu lama dan respons positif yang mempengaruhi kepuasan serta komitmen terhadap rawatan diberikan," jelasnya.